Sunday, September 23, 2012

Pak Ali Urut(2)


Allah ini memang Maha Kaya dan Maha Bijaksana.  Walaupun Pak Ali berkali-kali mengingatkan dia bukannya tukang urut, Ariffin serasi benar berurut dengan Ariffin.  Saya tidak kisahlah Pak Ali nak mengaku tukang urut ke tidak, tapi saya bersyukur pada Allah  dan ucap terima kasih kerana Pakcik datang mengurut.

Tahun ini adalah tahun ketiga  Pak Ali mengurut Ariffin.  Namun bukanlah 3 tahun yang lalu ini Pak Ali datang mengurut selang sehari. Kadang-kadang ada yang berselang  hingga 6 bulan.  Kalau Pak Ali sibuk atau ada hal, dia tak akan datang untuk satu tempoh yang lama. Kalau datang angin rajin dia, seminggu 3 kali datang mengurut.

Saya tidak boleh merungut kerana Pak Ali tidak mahu menerima bayaran.  Kalau Pak Ali letakkan caj untuk setiap sesi urut pun, akan saya usahakan juga sumbernya kerana itulah ikhtiarnya.  Ada sekali tu saya dan Ariffin kena marah kerana saya menyelitkan duit di celah-celah buah tangan yang saya kirimkan kepada dia seusai mengurut Ariffin.

"Korang jangan nak main-mainkan keikhlasan Pakcik..Pakcik cakap Pakcik tak nak bayaran, jangan cuba-cuba nak bayar Pakcik...".  Keras juga nada dia.  Dalam hati saya habislah lepas ni dia tak nak datang mengurut Ariffin lagi.

Kami minta maaf.  Namun, Pak Ali masih sudi menerima pemberian-pemberian lain seperti gula tepung nasi beriyani murtabak dan sebagainya.  Duit raya pun dia terima.  Cumanya dia tidak mahu dibayar kerana mengurut Ariffin.

Lepas peristiwa itu serik saya nak cuba-cuba kasi dia duit yang nampak seperti upah mengurut.

Setelah hampir 2 tahun mengurut bahagian kaki hingga ke peha Ariffin, Ariffin sudah boleh melipat kaki dan membengkok lutut, tetapi masih belum boleh duduk apatah lagi berdiri dan berjalan.   Sebelumnya kaki dan lutut akan tegak sahaja dan apabila berwudhuk memang perlu orang lain meratakan air di bahagian kaki.  Syukur.  Kini Ariffin boleh menyempurnakan wudhunya sendiri dengan menggunakan penyembur air.  Saya berpesan kepada Ariffin, titipkanlah doa untuk Pak Ali setiap kali Sayang lepas berwudhu.  Dengan izin Allah dan kesungguhan Pak Ali mengurut maka kini Sayang boleh berwudhu sendiri.

Hubungan saya dan Ariffin dengan Pak Ali merentasi batas keluarga.  Jika Kak Zah(Azizah juga namanya) isteri Pak Ali memasak masakan yang istimewa, maka akan dihantarkan semangkuk ke rumah.  Jika lauk yang saya masak tidak terlalu masin dan masih ada rupa lauk,  saya hantar semangkuk ke rumahnya.  Saya dan anak-anak sentiasa ada dalam senarai tetamu mereka jika ada majlis di rumah mereka dan saya sebolehnya-bolehnya cuba memenuhi jemputan tersebut sebagai tanda menghargai persahabatan yang terjalin.

Kalau lama  Ariffin tidak bersua Pak Ali, mulut akan tersebut-sebut. Bila saya dan isteri Pak Ali bertembung di pasar, isterinya juga menyebut Pak Ali  sudah rindu benar pada Ariffin tetapi tidak sempat untuk datang.  Sudah seperti orang bercinta pula.

bersambung...

No comments:

Post a Comment