Friday, January 17, 2014

Please Come Home, Master Grey



Jika terjumpa kucing kami, Master Grey, kucing jantan berumur 4 bulan, sangat mesra dan ceria, mohon ditunjukkan padanya jalan pulang ke rumah kami di Kuarters Masjid Syed Alwi Batu Anam, Segamat. Hilang sejak petang 16 Jan 2014.

Ibu, Ayah, Adni, Syifa dan Abg Hasif serta ibunya Melly dan saudara sedarah sedagingnya Tiger, Milly dan Molly sangat merindukan Master Grey.


Ya Allah, peliharalah dia dalam kebaikan dan keselamatan.  Temukanlah kami semula...

Thursday, January 16, 2014

Taufik

Teh Taufik,

Long menukilkan sesuatu di sini sebagai satu tanda menjelang 25 Januari 2014.  

Masa berlalu pantas.  Banyak sungguh peristiwa yang sepatutnya diabadikan dimana-mana catatan, tapi terlepas begitu saja.  Tetapi biarlah kali ini ianya dinukilkan disini.

Besar kemungkinan catatan ini tidak dibaca oleh Teh, kerana tidak ada seorang pun adik-adik Long yang tahu kewujudan catatatn ini, Time will tell.

Kisah Teh dan Long melalui proses yang panjang.  Melalui setiap alur liku dan hampir saja kisah kita  merangkumi setiap galur cinta dan kasih antara kakak dan adik yang mungkin tidak ramai pasangan adik-beradik lain melaluinya.

Biarlah kita simpan sejarah kelam dan suram itu.  Syukur Teh kini sudah kembali ke pangkuan keluarga, menemui jalan pulang, kembali ke diri asal.  Ayuh kita perbaiki apa yang pernah rosak dahulu. Hati emak, hati abah. Sepeniggalanmu dulu ada jiwa yang luka, ada rindu yang berkumpul, ada air mata yang tumpah.

Kata orang, ada orang yang memang jenisnya kena melalui suatu perkara itu sendiri untuk dirinya mendapat pengajaran. Maksudnya, jika sudah dikhabarkan yang api itu panas, ada orang akan menerima kenyataan itu pada "face value", terima saja kenyataan itu.  Namun, ada segolongan orang yang merasakan dia perlu masuk ke dalam api itu dan merasakan sendiri kepanasannya, terbakar suku badan, baru kenyataan api itu panas baru boleh diterima akal fikiran.  Long rasa dulu Teh jatuh pada kategori kedua ini.  Mungkin dulu terlalu mengikut darah muda yang mengalir hangat.  Akal pun pendek.  Tapi kita orang Isalam tidak semua perkara boleh kita perlakukan begitu.  Kita ada konsep iman iaitu konsep percaya.  Ada perkara yang kita perlu percaya dan yakin even without seeing it. Contohnya percaya kpd Allah, percaya kpd Malaikat, percaya kepada panas neraka, percaya kepada nikmat syurga.

Kini, pada kesempatan yang kedua, harapan Long keadaan akan lebih baik lagi.  Emak dan abah kini pun lebih tenteram dan tenang sejak Teh kembali ke pangkuan kami.  Long yang sudah menjadi ibu faham sangat derita emak.  Setiap tahun emak tak pernah miss buatkan Teh baju Melayu utk Hari Raya walaupun bebrapa  Aidil Fitri berlalu tanpa Teh .  Emak,abah dan adik beradik tidak pernah melupakan Teh. Long memang dari dulu yakin Teh akan pulang.  Cuma bagaimana dan bila tu Long tak boleh rencanakan.

Ayuh kita simpan segala yang pahit-pahit dulu dalam lipatan kenangan. Kita ambil pengajarannya. Long dan Abg Ipin juga ada kesilapan kami sendiri dalam menguruskan krisis Teh dulu.  Kita bertaubat, mohon keampunan drp Allah atas segala kelemahan kita.


Now you are a big man.  Seorang yang sangat humble. Satu nilai yang Long belum kuasai lagi. 

Alhamdulillah, 25 Januari ini Teh akan menjadi seorang suami.  Mungkin Teh pun tidak menjangkakan perkara ini, Tapi sudah ketentuan Allah, siapalah kita untuk  mengatakan tidak.  Tahniah dari Long dan Abg Ipin.  Long ucapkan terima kasih kerana Teh telah meminta pandangan Long dahulu berkaitan hal ini dan meminta Long  menyampaikan dan berunding dengan Mak.  Long memang jenis orang yang percaya kepada kuasa Cinta.  Soalan Long dulu ringkas, pertama :Sudahkah bersedia memikul tanggungjawab besar sebagai suami dan ketua keluarga? , kedua : Adakah  benar-benar cinta?

Perkahwinan adalah sesuatu yang indah.   Satu medan nikmat yang jika digali akan lebih banyak nikmat dan 
kebaikan yang akan kita temui.  Tidak ada apa nasihat yang Long hendak berikan, selain banyakkan memohon keapda Allah moga sentiasa melimpahkan kerahmatan dan kebaikan kepada perkahwinan yang dibina.  Lindungi isteri dan keluarga sebagaimana Teh melindungi diri sendiri.  Bimbing isteri dan keluarga kepada jalan kebenaran.  Berbuat baik kepada Emak abah, isteri, anak-anak dan keluarga isteri.  Sabar adalah kunci kepada keharmonian rumahtangga.  Long dan Abang Ipin sentiasa sedia mendengar dan memberi nasihat jika perlu. Teh pun sedia maklum yang perkahwinan  Long dan Abg Ipin ada ceritanya yang tersendiri yang didalamnya terkandung banyak iktibar yang boleh dimanfaatkan, in sya Allah.

Long dan abang Ipin dan juga Hasif, Syifa dan Aden (dan juga kucing-kucing kami-Melly, Master Grey, Tiger, Milly dan Molly) mendoakan agar kebahagiaan akan sentiasa mengiringi Teh dan Siti.  



May Allah bless for you (your spouse) and bless you, and may He unite both of you in goodness.
Moga Allah merahmati pasanganmu dan dirimu dan Moga Allah menyatukan kamu berdua dalam kebaikan, 









Tuesday, December 4, 2012

Tentang Dia

Saya berfikir-fikir untuk memulakan siri tulisan Tentang Dia.

Dia yang berkongsi pembaringan dengan saya.

Dia yang selalu saja tahu apa perkataan yang betul untuk disebut untuk meredakan saya.

Dia yang selalu sahaja saya takut kehilangan.

Atau Dia terlalu istimewa hingga tidak perlu diungkap dengan kata-kata makanya wajar terus dibiarkan kekal tersimpan dalam hati?


Hingga Berjumpa Lagi, Foreman Norhisham

Dia adalah penyelia di PQC Section semasa di Hitachi Electronics Devices dulu. Fizikalnya kecil sahaja, umur sebaya saya.  Awal pertemuan saya sudah dapat mengagak dia orang yang setia, Tandanya jawatan yang disandang ketika itu adalah berkat kenaikan pangkat secara berdikit-dikit. Bermula dari operator hingga  menjadi Penyelia. Saya hingga hari ini mengagumi kemahiran pengurusan kilang-kilang Jepun mengikat para pekerjanya untuk terus setia.

Kelihatannya dia amat sederhana dalam hampir semua perkara. Tidak dapat saya bezakan apa yang sangat menyukakan dia dan apa yang amay mendukakan dia.  Riak muka ketika dipuji dan dimarahi  hampir saja serupa.  Makanya saya yang pada zaman mudanya selalu saja hanya akan berada di dua hujung yang extreme akan tersegan sendiri dengan Foreman Norhisham.

Foreman Norhisham bertanggungjawab menyelia, mengurus dan menyusun kerja operator-operator di seksyen kami.  Saya pula akan mewakili seksyen menghadiri mesyuarat berkaitan kualiti.  Saya sebetulnya tidak betah bekerja kilang.  Bukan bahagian teknikal yang saya tidak faham, tetapi saya tidak kuasa untuk berjuang di dalam politik pejabat. Makanya pada tahun terakhir sebelum kilang ditutup, hati saya sudah hampir bulat untuk berhenti dan jadi surirumah membasuh baju mengemas rumah memasak 5 kali sehari mengemop lantai menyiram pokok bunga dsbnya.  Tetapi sepanjang ingatan saya, Foreman Norhisham kekal bermotivasi dan kekal bertanggungjawab terhadap kerja.

Dan di sepanjang 5 tahun itu, tidak sekali pun sampai ke telinga saya beliau ada bercerita buruk di belakang saya.  Pada saya, itu adalah makna "setia" yang lebih mendalam, Bukan sekadar kekal berada bersama saya, tetapi kekal mempertahankan maruah saya.  Itu akan saya ingat sampai bila-bila.

Takdir memisahkan kami. Kilang ditutup dan masing-masing membawa haluan masing-masing.  Kali terakhir saya tahu bahawa Norhisham mengusahakan bisnes mengedarkan makanan sejuk beku.  Ada 2 kali saya terserempak beliau, masih sama seperti dulu. Tersenyum dan sopan. Saya ini pula entah kenapa tidak begitu pandai menjaga persahabatan jarak jauh. Bukannya dengan Norhisham sahaja, tetapi hampir dengan semua orang.   Bukan saya tidak ingat atau sudah membuang mereka dari hati saya, tapi saya tidak tahu apa yang mengekang saya dari bertanya khabar.  Mungkin saya terlalu berpegang kepada kepercayaan "No news means good news".  Agaknyalah.

Dan baru-baru ini saya dikhabarkan Forman Norhisham telah kembali kepada Sang Pencipta.  Tidak pula saya menyangka saya akan menerima perkhabaran itu dengan hati yang sangat sedih. Menitis juga air mata saya ini.  Ya lah, 5 tahun berkongsi ofis, berkongsi pening,  berkongsi koridor, berkongsi majikan, berkongsi kerja..

Hari ini saya berbual panjang dengan isteri beliau melalui telefon.  InsyaAllah dalam masa terdekat akan saya susul dengan ziarah, walaupun sekejap.  Moga pertemuan itu akan dapat saya simbolkan sebagai ucapan salam perpisahan yang rasmi kepada Foreman Norhisham.

Foreman Norhisham, moga Allah merahmati ruhmu dan meletakkanmu di tempat rehat yang sebaik-baiknya.

Hingga kita berjumpa lagi di alam yang lain.





Monday, October 29, 2012

Yang Terindah

Jika dulu jika ada yang bertanya, dalam satu tahun, apakah hari yang paling saya nantikan, agak sukar juga untuk  menjawab kerana semua hari adalah hampir sama.  Hari ulangtahun kelahiran, ulangtahun perkahwinan, ulang tahun perkenalan, Hari Raya , Tahun Baru dsbnya  mungkin ada membawa sedikit beza..tetapi untuk menunggu-nunngu satu tarikh adalah agak sukar untuk ditelah.

Namun mutakhir ini, amat mudah sekali bagi saya (mungkin Ariffin juga, dan anak-anak juga) untuk menyatakan hari yang ditunggu-tunggu adalah Hari Raya Qurban.  Terutamnya sejak berpindah ke Batu Anam.  Saya belum habis memanjatkan syukur kerana "dihijrahkan" ke tempat ini.  Nanti saya ceritakan mengapa serasi benar(setakat ini) saya dengan tanah Batu Anam ini.  Akan saya gali nanti samada orangnya, geografinya, kepelbagaian ragam manusianya, rumahnya atau apa yang membuatkan saya seolah-olah mahu saja berwasiat supaya jika saya mati, tanamkan saja di tanah Batu Anam ini.  Kata orang saya sudah terminum air Sungai Kapeh, itu yang tidak boleh nak lari keluar dari Segamat..Emm, saya tidak percaya firasat-firasat yang begitu.

Tahun ini sekali lagi kami sekeluarga berpeluang bertemu dengan hari raya Qurban yang sarat dengan iktibar dan pengajaran dan teladan dan iltizam yang perlu dihayati.  Juga, Allah megurniakan rezeki untuk kami mengerjakan ibadah Qurban.  Namun, saya tidak begitu mahu bercerita tentang lembu dan warnanya dan saiznya.  Saya mahu menceritakan kenapa hari Raya Qurban itu sangat istimewa bagi kami.

Pada Hari Raya Qurban, dengan berkat hari yang baik dan mungkin doa dari sahabat2 yang tidak pernah kami ketahui yang secara diam-diam mendoakan kami di Arafah, Ariffin akan mengerah segala tenaga yang ada untuk berusaha duduk di kerusi roda dan keluar dari rumah untuk sama-sama menyaksikan darah lembu Qurban ditumpahkan.  Laluan akan diberi supaya pandangan Ariffin tidak dihalang.  Saya akan berdiri di belakang wheel chair, sama-sama bertakbir dan bertahmid bermula parang diletakkan di leher lembu hingga kering darah keluar dari urat merih. 2 perkara yang tidak pernah gagal disaksikan, Ariffin (dan saya juga) menitiskan air mata sambil sama-sama mendongak ke langit dan menadah tangan memohon Qurban ini diterima Allah dan bersyukur di atas segala nikmat yan dikurniakan kepada kami sekeluarga.

Pada hari itu Ariffin akan menggunakan peluang yang ada untuk berrjabat tangan, betanya khabar dan meletak rupa pada nama. Kebiasaanya dalam sehari seusai urusan kerja saya, ketika di rumah  saya akan bercerita dengan Arifin siapa yang saya jumpa pada siangnya, siapa yang sedang sakit, siapa yang akan menjemput kenduri di hujung minggu,siapa yang baru berpindah,  siapa yang berkirim salam padanya...Pada kebanyakan masa, hanya nama yang disebut...jadi, pada  hari di mana hampir seluruh kampung datang berhimpun di Dataran Qurban (di hadapan rumah kami), inilah masanya Ariffin akan  bertanya nama..dan saya akan acting sebagai PR.."Pakcik, perkenalkan ini suami saya....Ariffin" . Dan pelbagai reaksi yang diterima..ada yang mendakap erat, ada yang mendoakan di situ juga, ada yang menepuk bahu..namun segalanya seolah-olah menjadi bekal menghibur bagi Ariffin menghadapi hari-hari seterusnya.

Sayang sungguh, tahun ini Ariffin hanya mampu bertahan kurang dari 3 jam di kerusi roda.  Jika tahun-tahun sebelumnya, dia boleh bertahan lebih 5 jam.  Saya tidak mahu bersikap pesimis tentang apakan petandanya. Saya dan anak-anak akur dengan ketentuan ini.  Sudah disuratkan Allah hanya mengizinkan Ariffin cuma boleh bertahan 3 jam duduk pada tahun ini..namun kami masih bersyukur.  Namun 3 jam itu sudah cukup nikmat untuk kami mengambil peluang mengambil gambar sekeluarga, cukup untuk anak bongsu kami, Adni, merasa duduk di celah peha Ayahnya, untuk anak lelaki kami, Muzakkir, mendakap ayahnya dari belakang, dan untuk anak perempuan kami,Nurdina, mengusap belakang kepala ayah sebagai tanda betapa anak-anak sayangkan Ayah, untuk Ariffin melihat-lihat sekitar rumah kami, untuk bertemu dengan masyarakat setempat, bertukar senyuman dan mengucap salam.

Dengan apa yang telah Allah nikmatkan kepada kami, tidak ada sebab untuk kami merasa terlalu rendah diri dan perlu terlalu berdukacita dengan sedikit dugaan kesakitan yang diberika kepada Ariffin.  Moga Allah memberikan kami umur panjang yang berkat, rezeki yang hala yang jika sedikit mencukupi dan banyak boleh dikongsi-kongsikan, hati yang tenang, jiwa yang kental dan apabila tiba saat kami kembali kepadaNya, Allah akan menerima kami dengan redha dan memasukkan kami sekeluarga ke syurga yang kekal abadi.  Ameen.

We love you, sayang.  Tak kisahlah apa jadik, we will be with you, insyaAllah.


                                                                     
                                            Doa mohon keberkatan dan keselamatan
                                                             The selected ones...


                                           Yang baju harimau malaya ni bisu dan OKU.Tolong jaga stesen lepas stesen                  
                                                             tutup belah malam. . Ipin adores him.

                                                                     Doa


                   
                                                            Beri laluan...he..he..
                                                            Moga Qurban diterima Allah swt



Sapa aje la yang call time ni...
                                                          The neighbors...

                                                  Taklimat...


                                               


Our unit..One for all, all for one.
Nota: Pelajar Drj Khas Sek Agama Johor melihat proses Qurban dijalankan





Wednesday, October 10, 2012

Kurnia

Anak-anak Ibu,

Kurniaan Allah yang bakal kita terima  ini adalah satu bukti betapa Allah itu Maha Berkuasa menyusun apa jua takdir untuk kita.

Ibu yakin anak-anak masih ingat kepayahan dan keletihan yang Ibu dan Ayah dan anak-anak  lalui semasa kita memulakan ikhtiar kita di Batu Anam.  Satu malam, semasa kita masih menyewa di Rumah Rakyat, anakanda Hasif berbaring di sebelah Ibu dan bertanya "Ibu penat ya?" .  Ketika itu Ibu baru saja pulang dari kerja,  jam 1:00pagi Ibu kira.

Ibu yakin pada ketika itu anakanda Hasif hampir saja mahu menyatakan " Sudahlah Ibu, marilah kita kembali kepada kehidupan kita sebelum ini..."

Tetapi anakanda Hasif tidak meneruskan bicara.  Ibu tahu pada ketika itu anakanda Hasif sudah tidak tahan hati melihat  Ibu kepenatan.

Lihat anak-anak, berkat kesungguhan dan kesabaran kita, Allah menghadiahkan sesuatu y ang besar unuk kita.

Namun, ianya tidak memberi apa-apa petanda bahawa kita akan bermewah-mewah dan berkawan dengan pembaziran rentetan dari tibanya kurniaan ini.

Kurniaan ini adalah sebagai jalan untuk kita menyuburkan lagi apa-apa jua sifat baik yang ada dalam diri kita.

Kurniaan ini akan mendidik kita supaya lebih kuat bergantung kepada Allah.

Kurniaan ini akan mengajar kita untuk selalu bersyukur.

Ayuh kita ucapkan Alhamdulillah, walillah ilhamd

Sempurna

Alhamdulillah.

Kuterima kurnia ini Ya Allah, dengan rasa syukur, dengan rasa hormat.

Moga ianya akan menjadikan aku orang yang lebih merendah diri apabila menghadapMu dan menjadi orang yang akan selalu menyatakan syukur,syukur, syukur.

Ya Rabb, berilah aku kekuatan, kebijaksanaan, kegigihan dan kesabaran dalam manjaga amanah ini Ya Allah.

Moga Engkau berkati kurniaan ini.

Untuk anak-anak Ibu, ini bukti yang di sebalik ketidaksempurnaan, masih ada perkara-perkara yang boleh kita sempurnakan, dengan izin Allah S.W.T, dengan keazaman dan kesungguhan dan kepercayaan bahawa siapa yang berbuat kebaikan, kebaikan jugalah yang akan kembali kepadanya.

Dan juga, terima kasih Sayang.  Ini bukti Sayang bukan orang yang mementingkan diri.