Tuesday, December 4, 2012

Tentang Dia

Saya berfikir-fikir untuk memulakan siri tulisan Tentang Dia.

Dia yang berkongsi pembaringan dengan saya.

Dia yang selalu saja tahu apa perkataan yang betul untuk disebut untuk meredakan saya.

Dia yang selalu sahaja saya takut kehilangan.

Atau Dia terlalu istimewa hingga tidak perlu diungkap dengan kata-kata makanya wajar terus dibiarkan kekal tersimpan dalam hati?


Hingga Berjumpa Lagi, Foreman Norhisham

Dia adalah penyelia di PQC Section semasa di Hitachi Electronics Devices dulu. Fizikalnya kecil sahaja, umur sebaya saya.  Awal pertemuan saya sudah dapat mengagak dia orang yang setia, Tandanya jawatan yang disandang ketika itu adalah berkat kenaikan pangkat secara berdikit-dikit. Bermula dari operator hingga  menjadi Penyelia. Saya hingga hari ini mengagumi kemahiran pengurusan kilang-kilang Jepun mengikat para pekerjanya untuk terus setia.

Kelihatannya dia amat sederhana dalam hampir semua perkara. Tidak dapat saya bezakan apa yang sangat menyukakan dia dan apa yang amay mendukakan dia.  Riak muka ketika dipuji dan dimarahi  hampir saja serupa.  Makanya saya yang pada zaman mudanya selalu saja hanya akan berada di dua hujung yang extreme akan tersegan sendiri dengan Foreman Norhisham.

Foreman Norhisham bertanggungjawab menyelia, mengurus dan menyusun kerja operator-operator di seksyen kami.  Saya pula akan mewakili seksyen menghadiri mesyuarat berkaitan kualiti.  Saya sebetulnya tidak betah bekerja kilang.  Bukan bahagian teknikal yang saya tidak faham, tetapi saya tidak kuasa untuk berjuang di dalam politik pejabat. Makanya pada tahun terakhir sebelum kilang ditutup, hati saya sudah hampir bulat untuk berhenti dan jadi surirumah membasuh baju mengemas rumah memasak 5 kali sehari mengemop lantai menyiram pokok bunga dsbnya.  Tetapi sepanjang ingatan saya, Foreman Norhisham kekal bermotivasi dan kekal bertanggungjawab terhadap kerja.

Dan di sepanjang 5 tahun itu, tidak sekali pun sampai ke telinga saya beliau ada bercerita buruk di belakang saya.  Pada saya, itu adalah makna "setia" yang lebih mendalam, Bukan sekadar kekal berada bersama saya, tetapi kekal mempertahankan maruah saya.  Itu akan saya ingat sampai bila-bila.

Takdir memisahkan kami. Kilang ditutup dan masing-masing membawa haluan masing-masing.  Kali terakhir saya tahu bahawa Norhisham mengusahakan bisnes mengedarkan makanan sejuk beku.  Ada 2 kali saya terserempak beliau, masih sama seperti dulu. Tersenyum dan sopan. Saya ini pula entah kenapa tidak begitu pandai menjaga persahabatan jarak jauh. Bukannya dengan Norhisham sahaja, tetapi hampir dengan semua orang.   Bukan saya tidak ingat atau sudah membuang mereka dari hati saya, tapi saya tidak tahu apa yang mengekang saya dari bertanya khabar.  Mungkin saya terlalu berpegang kepada kepercayaan "No news means good news".  Agaknyalah.

Dan baru-baru ini saya dikhabarkan Forman Norhisham telah kembali kepada Sang Pencipta.  Tidak pula saya menyangka saya akan menerima perkhabaran itu dengan hati yang sangat sedih. Menitis juga air mata saya ini.  Ya lah, 5 tahun berkongsi ofis, berkongsi pening,  berkongsi koridor, berkongsi majikan, berkongsi kerja..

Hari ini saya berbual panjang dengan isteri beliau melalui telefon.  InsyaAllah dalam masa terdekat akan saya susul dengan ziarah, walaupun sekejap.  Moga pertemuan itu akan dapat saya simbolkan sebagai ucapan salam perpisahan yang rasmi kepada Foreman Norhisham.

Foreman Norhisham, moga Allah merahmati ruhmu dan meletakkanmu di tempat rehat yang sebaik-baiknya.

Hingga kita berjumpa lagi di alam yang lain.