Sunday, September 23, 2012

Pak Ali Urut(3)

Saya sejujurnya tidak pernah tahu secara tepat apa latarbelakang Pak Ali sebelum ini.  Saya cuma tahu yang dia pernah bekerja makan gaji di dalam bidang berkaitan pertanian, dan kemudiannya berhenti(bersara?) awal dan balik ke kampung kerana masalah kesihatan.  Kaedah saya dalam menyesuaikan diri di sini ialah saya tidak mahu tahu sejarah silam seseorang itu.  Yang lepas tidak ada kena mengena dengan saya.   Saya sendiri  tidak suka orang menggali-gali sejarah silam saya.

Saya juga tidak pernah bertanya secara terus kepadanya.  Demi menghormati persahabatan dan memelihara keserasian yang terjalin.  Tapi saya merasakan Pak Ali seorang yang cerdik.  Untuk seseorang yang sudah lama tinggal di kampung, saya rasa pemikiran beliau agak kontemporari. Kalau Pak Ali datang berurut, topik demi topik akan kami bualkan.. Sesekali terkeluar perkataan-perkataan Inggeris yang agak tinggi nilai aestetiknya dari mulutnya.  Ariffin selalunya akan mendengar saja apa yang kami bualkan kerana dia selalunya menahan geli dan sakit diurut Pak Ali.

Selalunya Pak Ali akan mengurut pada sebelah malam. Seusai mengurut, saya akan menjamu Pak Ali makan.  Kalau saya tidak terlalu sibuk sebelah petang, menu supper malam tu adalah menu yang semenggah sikit.  Jika tidak Pak Ali kennalah redha dengan sandwic ikan, lempeng, atau jemput-jemput.  Saya syak kenaikan berat badan saya dua tiga tahun kebelakangan ini ada kaitan dengan tabiat menemankan Pak Ali makan supper.  Pak Ali makan untuk ganti tenaga yang habis kerana mengurut, saya makan kerana menemankan Pak Ali makan.  Akibatnya, saya kini terpaksa besenam di sebelah petang.

Malam Khamis lalu Pak Ali diserang sakit jantung.  Tengahari  Jumaat isterinya menelefon saya dengan penuh hiba menyampaikan khabar.  Petangnya saya bergegas ke ICU Hospital Segamat.  Alhmadulillah, krisis serangan jantung Pak Ali  telah diurus dengan baik.  Saya berbual dengan Pak Ali dengan nada yang sama seperti waktu-waktu sebelumnya.  Saya tahu dia bukannya jenis orang yang cepat bersedih berduka nestapa berputus asa.  Saya cuma kata ini petanda Allah suruh slow down a little bit and look after your health.

Pak Ali juga mahir membuat kerja-kerja kayu.  Lihat saja rumahnya sekarang. Rumah kampung kayu siap berukir bagai.  Jadi, dia memang selalu sibuk dengan kerja-kerja kayu dan bertukang hingga mungkin kurang rehat.  Lupa pula saya nak nasihat dia supaya berhenti merokok.

Begitulah baiknya rezeki saya dan Ariffin dikurniakan Allah. Dipertemukan kami dengan orang asing yang tinggi budi dan luhur.  Bukan semua orang mengharapkan balasan dan upah.  Masih ada di celah-celah ramainya manusia hari ini yang boleh mengikhlaskan diri membantu orang yang tidak pernah dikenali tanpa meminta apa-apa balasan.

Terima kasih Pak Ali.  Saya dan Ariffin menghargai setiap sumbangan tenaga, masa dan kasih sayang Pak Ali kepada kami sekeluarga.  Kami mendoakan Pak Ali akan dikurniakan kesembuhan tanpa bekas dan moga kehidupan Pak Ali sekeluarga sentiasa diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment