Sunday, September 23, 2012

Pak Ali Urut (1)

Nama penuhnya bukan begitu.  Dan dia bukannya juga tukang urut secara profession.

Tadkdir Ariffin sakit dan hilang upaya dan kami berpindah ke Batu Anam  membuatkan saya dan Ariffin ditemukan dengan Pak Ali.  Saya tidak ingat bila kali pertama saya bertemu Pak Ali, tetapi Pak Ali ingat benar bila kali pertama dia terpandangkan saya dan Ariffin.  Dia kata masa itu dia ke stesen, masa tu baru dalam seminggu stesen mula operasi,  dia datang untuk mengisi minyak.

Dia ternampak saya sedang membantu Ariffin keluar dari kereta.  Masa itu Ariffin masih boleh memandu tetapi sudah tidak boleh mengangkat punggung dan badan untuk memulakan pergerakan-pergerakan seterusnya.  Kaedahnya saya akan mendakap Ariffin dari hadapan dan akan angkat badan  dia sedikit supaya dia boleh mula berdiri.  Pak Ali kata pada ketika itu juga sudah tumpah rasa kasihannya pada Ariffin. Muda-muda sudah sakit.

Pak Ali datang ke rumah kami atas jemputan orang lain.  Saya tidak pernah berpeluang berkenalan atau diperkenalkan kepada Pak Ali sebelum itu.  Tahun pertama di sini adalah tahun yang paling  sibuk. Sibuk dalam banyak hal termasuk sibuk untuk mengenal nama dan mengecam rupa orang-orang di sini.

Untuk beberapa ketika, saya diurut oleh Kak Faridah.  Saya  ini orang yang tidak tahan sakit.  Kalau sakit gigi, dalam setengah jam saya sudah terpacak depan klinik gigi.  Kalau demam, belum naik suhu saya sudah mencari Panadol.  Begitu juga kalau lenguh badan, Kak Faridah terpaksalah tukar jadual dia hari itu untuk mencari masa mengurut saya.

Setelah beberapa ketika mengurut saya di rumah, Kak Faridah berasa kasihan kepada Ariffin.  Sebelumnya Ariffin pernah diurut oleh beberapa tukang urut.  Tetapi tidak ada keserasian dan ada juga yang saya sendiri hentikan perkhidmatan.  Manakan tidak, diurutnya Ariffin sekuat hati macamlah suami saya itu baru saja balik dari sebulan menebang balak.  Akibatnya, malam ini berurut esoknya demam.  Ariffin ini kalau demam, akan berdiam dari berkata-kata.  Ariffin adalah rakan bicara saya, mana boleh dia diam tidak berkata-kata.  Saya ada banyak perkara nak bincang dengan dia.  Sudah 17 tahun berkahwin campur 4 tahun bercinta , saya dan Ariffin masih ada banyak topik yang perlu dibincangkan.

Atas dasar kasihan Kak Faridah datang merayu kepada Pak Ali yang juga bapa saudarannya supaya datanglah mengurut Ariffin suami Puan Azizah yang jaga stesen tu, kasihan benar saya melihat dia..  Itu ialah penerangan yang paling selalu orang di sini pakai nak rujuk tentang saya dan Ariffin.  Hari ini, panggilan Puan itu semakin hilang dan nanti saya ceritakan bagaimana ianya boleh berlaku.  Saya memang rimas apabila orang berPuanPuan dengan saya.

Pak Ali bukanlah seorang tukang urut yang orang boleh datang ke rumah dia dan suakan kaki terkehel, lutut teralih, tulang tangan terpatah.  Ikut rezeki masing-masing.  Kalau rezeki orang tu baik, dia gosoklah sikit.  Kalau tidak dia akan rekomenkan tukang urut lain atau cadangkan klinik yang berhampiran .  Itu yang saya dengar dari orang keliling.

Kali pertama Pak Ali datang ke rumah adalah sekitar 2009, masa itu Ariffin sudah tidak boleh bangun berdiri mahupun duduk.  Pada Ramadan 2009, Ariffin kehilangan keupayaan itu.  Ianya satu realiti yang perit, nanti saya ceritakan dalam tulisan yang berasingan.

Umur Pak Ali ketika itu dalam sekitar 50 tahun.  Orangnya jenis yang sederhana. Tidak begitu berkeras untuk menonjolkan diri, namun tidaklah begitu diam hingga kita disekelilingnya mati akal untuk berbicara.  Saya dan Ariffin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi datang.  Dia kata dia sendiri tidak tahu macamana dia boleh ada kemahuan untuk mengurut Ariffin.  Selalunya dia memilih untuk tidak mengurut.  Pakcik bukan tukang urut, berkali-kali dia menegaskan.  Bberkat pemerhatian saya betahun-tahun sebelum itu  membawa Ariffin berubat dan berurut ke sana ke sini, melihat ruas pada tangannya saja saya tahu dia adalah tukang urut yang baik.

Saya dan Ariffin sukakan Pakcik Ali pada saat dan ketika itu juga.  Padahal kami bukanlah orang yang jenis begitu.  Saya ini ada banyak ciri yang tidak baik, antaranya tidak mudah mempercayai orang lain, apatah menjemput orang lain masuk campur dalam urusan peribadi  dan urusan keluarga saya.  Bukan sombong, tapi defensif- ingin melindungi diri dan keluarga saya dari kemungkinan-kemungkinan  yang saya tidak tahu..  Bukan berburuk sangka, tetapi lebih kepada berhati-hati.  

Pak Ali orangnya sangat bersahaja.  Dia adalah antara orang yang saya tidak segan jika dia datang singgah ke rumah dan rumah saya sedang bersepah.  Dia ada kebolehan untuk buat muka seolah-olah "aku tak nampak apa pun masalah dengan susun atur rumah kau ni...".  Saya yang terbengang malu kerana kelemahan pengurusan rumhatangga saya hampir terbongkar akan olok-olok marahkan Adni kerana tak kemas buku lepas belajar.Yang buat nampak bersepah kain baju 2 hari tak berlipat parking atas sofa, buku Adni yang tak berapa helai itu juga yang saya salahkan. Yang ini namanya ego.

Bersambung..


No comments:

Post a Comment